Damba Kasih

Hamba yang faqir mengemis cintaMu Ya ALLAH......

Monday, 21 October 2013


~KERANA TEMPE ITU.......~

Kisah benar seorang yang bergelar "mak cik" yang merupakan pembuat dan penjual tempe di pasar pagi. Walaupun hanya penjual tempe, namun Mak Cik Minah (bukan nama sebenar) sangat-sangat menjaga hubungan dengan Allah Taala. Beliau sentiasa mengerjakan solat malam, solat-solat sunat serta setiap detik waktu lapangnya diisi dengan zikrullah....Subhanallah!!

Selalunya Mak Cik Minah akan bangun awal untuk solat malam dan menyediakan bekalan tempe untuk dijual keesokannya. Namun, pada suatu hari dengan takdir Allah Taala Mak Cik Minah terlambat bangun dan tempe yang perlu dijual masih belum disiapkan. Mak Cik Minah sedikit terkilan, akan tetapi dihatinya beliau sentiasa berdoa kepada Allah agar tempe yang dibuatnya masak walaupun sedikit terlambat.

Dalam perjalanan menuju ke pasar, Mak Cik Minah tidak putus-putus berdoa agar tempe yang dibuatnya menjadi sepenuhnya. Jauh di sudut hatinya beliau berkata, "Ya Allah, aku hambaMu yang sentiasa taat dan bersujud kepadaMu. Aku memohon kepadaMu agar tempe yang aku buat ini masak sepenuhnya".

Dengan harapan yang menggunung, Mak Cik Minah mengharapkan tempenya masak. Apabila dibuka bungkusan tempe tersebut, kelihatan tempe tersebut masih mentah. Raut di wajahnya hampa.

Hampir kesemua penjual di pasar tersebut sudahpun mengemas-ngemas barang-barang jualan untuk pulang berehat. Namun, tidak pada Mak Cik Minah. Tetap setia di situ. Tempe tersebut masih belum dijamah tangan pelanggan. Dia termangu seketika.

Tiba-tiba datang seorang ibu muda ke gerai Mak Cik Minah.

"Tempe ada lagi Mak Cik?", senyuman manis terpancar di wajah manis ibu muda tersebut.

"Ada lagi nak", selamba Mak Cik Minah menjawab. Namun di dalam hatinya dia tidak putus-putus berdoa agar tempenya cepat masak.

Apabila bungkusan tempe dibuka, kelihatan tempe-tempe tersebut masih mentah. Mak Cik Minah kecewa.

"Alhamdulillah Mak Cik, hampir kesemua gerai yang saya pergi tak ada pun tempe mentah yang dijual. Mak Cik lah satu-satunya yang jual tempe mentah ni. Bukan apa Mak Cik, nak kirim kepada anak saya yang belajar jauh. Kalau kirim yang sudah masak, takut tak elok jadinya. Saya beli kesemuanya sekali ya".

Mak Cik Minah tidak berkata apa-apa melainkan ucapan syukur kepada Allah Taala. Lantas beliau bermuhasabah sendirian...

~TAMAT~

Pengajaran yang boleh kita kutip daripada kisah benar ini adalah :-

*Tidak semestinya apa yang kita minta itu kita perolehi, namun ALLAH kabulkan dengan suatu pemberian yang selayaknya untuk kita.


*ALLAH memberi apa yang perlu untuk kita, bukan apa yang kita perlukan.