~KERANA TEMPE
ITU.......~
Kisah benar seorang yang bergelar "mak cik" yang
merupakan pembuat dan penjual tempe di pasar pagi. Walaupun hanya penjual
tempe, namun Mak Cik Minah (bukan nama sebenar) sangat-sangat menjaga hubungan
dengan Allah Taala. Beliau sentiasa mengerjakan solat malam, solat-solat sunat
serta setiap detik waktu lapangnya diisi dengan zikrullah....Subhanallah!!
Selalunya Mak Cik Minah akan bangun awal untuk solat malam
dan menyediakan bekalan tempe untuk dijual keesokannya. Namun, pada suatu hari
dengan takdir Allah Taala Mak Cik Minah terlambat bangun dan tempe yang perlu
dijual masih belum disiapkan. Mak Cik Minah sedikit terkilan, akan tetapi
dihatinya beliau sentiasa berdoa kepada Allah agar tempe yang dibuatnya masak
walaupun sedikit terlambat.
Dalam perjalanan menuju ke pasar, Mak Cik Minah tidak
putus-putus berdoa agar tempe yang dibuatnya menjadi sepenuhnya. Jauh di sudut
hatinya beliau berkata, "Ya Allah, aku hambaMu yang sentiasa taat dan
bersujud kepadaMu. Aku memohon kepadaMu agar tempe yang aku buat ini masak
sepenuhnya".
Dengan harapan yang menggunung, Mak Cik Minah mengharapkan
tempenya masak. Apabila dibuka bungkusan tempe tersebut, kelihatan tempe
tersebut masih mentah. Raut di wajahnya hampa.
Hampir kesemua penjual di pasar tersebut sudahpun
mengemas-ngemas barang-barang jualan untuk pulang berehat. Namun, tidak pada
Mak Cik Minah. Tetap setia di situ. Tempe tersebut masih belum dijamah tangan
pelanggan. Dia termangu seketika.
Tiba-tiba datang seorang ibu muda ke gerai Mak Cik Minah.
"Tempe ada lagi Mak Cik?", senyuman manis
terpancar di wajah manis ibu muda tersebut.
"Ada lagi nak", selamba Mak Cik Minah menjawab.
Namun di dalam hatinya dia tidak putus-putus berdoa agar tempenya cepat masak.
Apabila bungkusan tempe dibuka, kelihatan tempe-tempe
tersebut masih mentah. Mak Cik Minah kecewa.
"Alhamdulillah Mak Cik, hampir kesemua gerai yang saya
pergi tak ada pun tempe mentah yang dijual. Mak Cik lah satu-satunya yang jual
tempe mentah ni. Bukan apa Mak Cik, nak kirim kepada anak saya yang belajar
jauh. Kalau kirim yang sudah masak, takut tak elok jadinya. Saya beli
kesemuanya sekali ya".
Mak Cik Minah tidak berkata apa-apa melainkan ucapan syukur
kepada Allah Taala. Lantas beliau bermuhasabah sendirian...
~TAMAT~
Pengajaran yang boleh kita kutip daripada kisah benar ini
adalah :-
*Tidak semestinya apa yang kita minta itu kita perolehi,
namun ALLAH kabulkan dengan suatu pemberian yang selayaknya untuk kita.
*ALLAH memberi apa yang perlu untuk kita, bukan apa yang kita
perlukan.
